SONY MWC 2016 : Sony Xperia X – Telefon Berspesifikasi Pertengahan Dengan Kamera Yang Baik.

Sony sehingga kini tidak terlepas untuk melancarkan peranti baru pada Mobile World Congress setiap tahun. Untuk tahun ini, memandangkan peranti Xperia Z5 baru sahaja dilancarkan, mereka telah mengumumkan peranti baru dibawah siri baru, iaitu siri X. Dibawah siri baru ini, mereka menawarkan tiga model iaitu Xperia X Performance untuk spesifikasi tinggi, Xperia XA untuk spesifikasi asas didalam siri ini dan Xperia X, iaitu spesifikasi pertengahan.
Sony Xperia X
Skrin5-inci Full HD 1920 x 1080
PemprosesSnapdragon 650
Memori3GB
Muatan Dalaman16GB / 32GB
Kamera Utama23MP
Kamera Depan13MP
Bateri2620 mAh
Kalis AirTidak
Pengecasan PantasYa
Fungsi LainPredictive Hybrid Autofocus, Remote Play
Fokus pada siri X ialah kepada keupayaan kamera dan bateri yang bagus. Bagi membezakan Siri X dengan siri yang lain, mereka turut menyertakan rekaan yang baik namun ingin bersaing dalam kategori pertengahan. Siri X juga tidak menyertakan versi kompak, tidak seperti siri terdahulu dan kesemua peranti dalam Siri X ini mempunyai saiz yang sama. Kesemua peranti ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 5-inci HD penuh, kecuali Xperia XA yang tidak mempunyai resolusi penuh dan hanya mempunyai paparan 720p.
Sony Xperia X hadir dengan rekaan yang mengikuti rekaan terbaru siri Xperia Z5 dan hadir dengan kemasan aluminium unibody. Salah satu perbezaan yang paling ketara pada siri X ini adalah ia menggunakan kaca 2.5D, yang bertujuan untuk membuatkan peranti lebih selesa digenggam dan dipegang. Ia semestinya sedikit berbeza dari Xperia Z5 yang mempunyai seakan-akan bucu pada bahagian tepi, yang menjadikan peranti tersebut tidak selesa dipegang. Dari segi saiz dan paparan, ia sedikit kecil berbanding Z5 dan perlu dikatakan Siri X bukanlah pengganti Siri Z.
Mengikuti tema rekaan terbaru Sony, pada sebelah kanan badan Xperia X disertakan dengan butang kuasa yang diintegrasikan dengan pengimbas cap jari, butang khusus untuk rakaman gambar, dan butang kawalan tahap bunyi. Dari segi reka letak, ia masih berada di ‘bawah’, menjadikan pengalaman untuk menekan butang kawalan tahap bunyi sedikit canggung. Ini kerana jika anda menggunakan tangan kanan, mungkin ibu jari anda terpaksa digerakkan dibawah posisi butang kuasa, sekaligus memberikan perasaan aneh dalam menggunakan butang tersebut. Namun ini bergantung kepada penggunaan peribadi pengguna.
MWC2016 - Sony Xperia X IMG_0156
MWC2016 - Sony Xperia X IMG_0160
Salah satu perkara yang mungkin membuatkan pengguna berasa canggung adalah pengguna perlu menekan butang kuasa untuk mengaktifkan pengimbas cap jari. Ini adalah berbeza dengan pengimbas cap jari yang terdapat pada peranti lain yang sentiasa aktif, dan sedia untuk mengimbas cap jari bagi tujuan mengaktifkan peranti.
Pada sebelah kiri badan peranti pula terdapat talam bagi meletakkan kad SIM dan juga kad Mikro-SD bagi menambah kapasiti storan. Talam ini boleh memuatkan kad Nano SIM, Micro SIM, atau menggunakan talam Micro SIM untuk meletakkan kad Mikro SD dengan kapasiti tambahan sehingga 200GB. Menurut spesifikasi, terdapat dua kapasiti storan tersedia untuk peranti ini, sama ada 32GB untuk variasi Xperia X dengan satu kad SIM, atau 64GB untuk variasi dengan dua kad SIM. Salah satu kekurangan peranti ini adalah dengan rekaan sebegini, ia sekaligus menjadikan Xperia X tidak kalis air, dan mungkin pengguna yang inginkan peranti kalis air perlu memilih Xperia X Performance atau Siri-Z.
Xperia X hadir dengan pelbagai tawaran spesifikasi yang menjadikan ia seakan-akan peranti berspesifikasi tinggi. Ia hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 650 64-bit enam teras, dan dibantu oleh RAM sebesar 3GB. Dengan kekuasaan pemprosesan ini, peranti Siri-X ini juga boleh menggunakan fungsi Remote Play, membolehkan pemilik konsol permainan PlayStation 4 menggunakan Xperia X bagi menstrimkan permainan mereka untuk dimainkan tanpa menggunakan televisyen.
MWC2016 - Sony Xperia X IMG_0184Dari segi keupayaan kamera, menariknya Xperia X ini menyertakan kamera utama yang sama berkuasa seperti Xperia Z5. Ia mempunyai sensor sebesar 23 Megapixel, dengan fungsi terbaru yang dicipta oleh Sony iaitu Predictive Hybrid Autofocus. Fungsi ini membolehkan sensor pengimejan ‘menjangka’ gerakan objek dan membantu pemfokusan dilakukan dengan lebih pantas bagi membantu pengguna merakam gambar dengan cepat dan tidak terlepas sebarang aksi.
Kameranya juga berkemampuan untuk menangkap gambar pada keadaan yang kurang cahaya, dengan tahap ISO setinggi 12800. Namun salah satu perkara yang tidak pasti adalah dengan tahap ISO setinggi itu, berkemungkinan gambar yang dihasilkan akan mempunyai kadar ‘Noise’ yang tinggi. Mungkin apabila kami berpeluang untuk melakukan ulasan penuh, perkara ini dapat diuji. Untuk kamera hadapan pula, bagi menarik minat pengguna yang mungkin lebih sukakan fungsi Selfie, ia hadir dengan sensor sebesar 13MP. Dengan sensor pengimejan sebesar ini, gambar selfie dapat dirakam dengan lebih banyak perincian padanya.
MWC2016 - Sony Xperia X IMG_0149
Peranti ini beroperasi menggunakan Android Marshmallow yang terkini, dan seperti peranti-peranti Sony yang lain, fokus pada penjimatan tenaga merupakan ciri-ciri utama. Pada kapasiti bateri sebesar 2620 mAh, ia mampu bertahan sehingga 2 hari dan turut menyertakan pengecasan pantas padanya. Dengan pengecasan selama 10 minit, Sony Xperia X dapat beroperasi selama 5 jam.
Screenshot_20160222-150841-sideScreenshot_20160222-151009-side
Dengan ciri-ciri yang dibawakan oleh Sony Xperia X, mungkin ia bukanlah sesuatu yang baru namun bakal memberikan persaingan sengit untuk peranti-peranti pada klasifikasi pertengahan. Ini kerana mereka menawarkan spesifikasi yang tampak premium, tetapi tidak melebihi Siri-Z mereka iaitu Siri dengan spesifikasi tertinggi. Dan tiadanya label ‘Compact’ diberikan kepada sebarang Siri-Z, mungkin menandakan evolusi pada penawaran Sony seperti yang dikatakan mereka. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat berkenaan harga peranti ini dan juga tiada khabar bilakah peranti ini akan hadir ke pasaran tempatan.

https://amanz.my/2016105987/
Share:

Alamat

FIXMOBILE KUBANG KERIAN
Lot 1490 Wisma Ar Rahmah
Bandar Baru Kubang Kerian
16150 Kubang Kerian,Kota Bharu
Kelantan,Malaysia

No : 0111 900 300
Email : Fixmobilekk@gmail.com