Aduh, perang data mudahalih di Malaysia kini semakin mengganas. Jika panggilan tanpa had dengan data 7GB tidak mencukupi, U Mobile kini menawarkannya dengan 15GB data sebulan, dan komitmen pengguna masih kekal sama, hanya RM70 sebulan. Ia adalah tawaran terbaru U Mobile menerusi pelan pascabayar Hero.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee. Tawaran 15GB datapelan Hero ini akan mula dibuka pada 15 Mac 2016. Tetapi, ia hanya diberikan sehingga 30 Jun 2016 sahaja. Bermakna, pengguna boleh menikmati 15GB data dengan komitmen RM70 sebulan, selama 3.5 bulan.
Sebelum ini, pelan pascabayar Hero U Mobile memberikan pengguna panggilan tanpa had beserta 7GB data, dengan komitmen RM70 sebulan. Tetapi ia menerima tentangan hebat apabila Digi turut menawarkan pelan pascabayar dengan panggilan tanpa had beserta 7GB data, hanya RM78 sebulan. Celcom pula melancarkan pelan FiRST Gold yang turut datang dengan panggilan tanpa had, bersama 5GB data bulanan dan 5GB data hujung minggu, hanya RM80 sebulan.
Dengan saingan sengit dari Digi dan Celcom ini, tidak hairanlah U Mobile mengambil langkah ekstrem dengan memberikan data berganda kepada pelan Hero mereka. Masih tiada maklumat lanjut tentang perkara ini, tetapi dijangka pengguna sedia ada akan menerima naiktaraf ini secara automatik.
U Mobile turut memperkenalkan pelan baru Hero Plus, yang menawarkan dua talian bersama panggilan tanpa had dan data 12GB, dengan bayaran RM120 sebulan. Dengan tawaran baru ini, pastinya Hero Plus turut menerima peningkatan, dan menjadikan data bulanan untuk dua talian kepada 18GB.
Bagaimana sekarang, mahu kekal dengan talian syarikat lain, atau nikmati data berganda-ganda dari U Mobile dengan pelan Hero ini? Segera ke pusat servis U Mobile berhampiran untuk bertukar ke talian U Mobile, sambil mengekalkan nombor sedia ada.
http://theskop.com/2016/03/pelan-hero-u-mobile-digandakan-data-dari-7gb-menjadi-15gb/