Ulasan OnePlus X – Peranti Dengan Faktor X Tersendiri

OnePlus X Device20160127_134243OnePlus X, sebuah syarikat yang hanya berusia dua tahun jagung muncul dengan peranti ketiga mereka tahun lalu. OnePlus X bolehlah dikatakan sebagai OnePlus 1 dengan rekaan lebih premium dan skrin yang lebih kecil. Sekilas pandang ia mengingatkan kami kepada sebuah Xperia Z2 Compact. Adakah “pembungkusan” semula OnePlus 1 dengan rekaan lebih mewah ini berbaloi untuk dimiliki? Ulasan ini akan cuba menjawab persoalan anda mengenai OnePlus X.

OnePlus One muncul dua tahun lalu dan menjanjikan peranti dengan spesifikasi tinggi tetapi pada harga lebih mampu milik. OnePlus cuba menjadi “pembunuh peranti utama” dan “mengubah landskap dunia peranti pintar” dengan peranti pertama mereka. Masalah utama kami dengan OnePlus One dahulu ialah ianya terlalu sukar untuk dimiliki dan kami tidak pernah menerima peranti ulasan. Pengalaman kami terhad kepada menggunakan peranti yang dimiliki oleh seorang teman. Kami rasakan OnePlus One hanyalah sebuah Oppo Find 7 dengan sistem operasi lebih baik dan rekaan yang lebih kemas.
Apakah perbezaan di antara OnePlus X dan 1? Pertama sekali saiz skrin dikecilkan. Ia dilengkapi skrin 5″ FHD AMOLED berbanding 5.5″ FHD SLCD pada OnePlus 1. Pemproses dan RAM masih lagi sama iaitu Snapdragon 801 dan 3 Gigabyte. Pilihan muatan dalaman hanyalah 16 Gigabyte. Tiada versi 64 Gigabyte seperti yang ditawarkan oleh OnePlus One. Kedua-duanya menyokong kad MikroSD. OnePlus X mempunyai slot Dwi-SIM bersaiz Nano dengan sokongan rangkaian 4G.  Abang besarnya hanya mempunyai satu slot Mikro SIM.
Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel f/2.2 pada bahagian belakang dan 8 Megapixel f/2.4 pada kamera hadapan. Bateri yang disertakan pula sebesar 2525 mAh yang tidak boleh ditanggalkan. Sedikit mengecewakan ia tidak menyokong pengecasan pantas. Seperkara lagi yang mengecewakan ialah tiadanya sokongan NFC. Seperti yang anda boleh lihat dari senarai spesifikasi, OnePlus X ialah OnePlus One yang diberikan rekaan lebih premium dengan skrin yang lebih kecil.

Rekaan

OnePlus X ialah antara peranti tercantik di pasaran sekarang. Ia mengingatkan kami kepada rekaan sebuah Xperia Z3 cuma tiada kemampuan kalis air serta debu. Kedua-dua panel kaca pada hadapan dan belakang peranti mempunyai rekaan 2.5D yang memudahkan pergerakan jari dari skrin ke sisi. Ketiadaan bucu tajam juga membuatkannya amat selesa dipegang di dalam tangan.
Pada sebelah kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara diperbuat daripada logam. Kedua-dua butang ini keras dan tegap binaannya. Parameter peranti yang diperbuat daripada logam mempunyai alur yang dipotong. Kami merasakan alur-alur ini disertakan bagi memberikan tekstur kasar bagi mengelakkan peranti menjadi terlalu licin. Pada sisi kanan yang sama turut diletakkan talam SIM dan kad SD. Untuk menambah memori dalaman, slot SIM Nano kedua digunakan untuk meletakkan kad MikroSD.

Pada sisi sebelah kiri terdapat pula butang khas yang boleh dilaras ke atas dan ke bawah. Pada posisi paling bawah ia membenarkan deringan telefon dan juga memaparkan kesemua notifikasi. Pada posisi tengah hanya notifikasi penting akan diperlihatkan manakala pada posisi paling atas tiada gangguan akan dilakukan. Ini amat berguna ketika tidur malam ataupun ketika menonton wayang. Hanya dengan menekan suiz ini anda dapat mengubah sistem notifikasi peranti dengan pantas.
Pembesar suara mono terletak pada bahagian bawah peranti. Sekilas pandang memang kelihatan seperti terdapat dua kekisi pembesar suara tetapi hanya kekisi di sebelah kanan mempunyai pembesar suara. Port pengecasan MikroUSB terletak di antara dua kekisi pembesar suara ini. Akhir sekali bicu audio 3.5mm terletak pada bahagian atas.
Pada hemat kami kualiti rekaan dan binaan OnePlus X adalah amat baik. Malahan tidak malu kami katakan ianya jauh lebih selesa dipegang dari sebuah Sony Xperia Z5 yang juga sedang kami ulas sekarang. Bezanya ialah Xperia Z5 adalah dua kali ganda lebih mahal berbanding OnePlus X.

Antaramuka OxygenOS

Di dalam artikel senarai impian peranti tahun 2016 kami ada mengatakan mahu melihat penggunaan Android Vanilla digunakan dengan lebih meluas. OnePlus X menggunakan Android 5.1.1 dengan pelancar OxygenOS yang kelihatan seperti Android Vanilla dengan beberapa penambahan kecil. Dari segi rekaan ikon dan elemen antaramuka tidak ada perbezaan besar dengan Vanilla. Penambahan pertama yang disedari ialah fungsi Shelf. Ia adalah skrin pada sebelah kiri skrin home OnePlus X. Skrin ini akan menunjukkan ramalan cuaca serta 10 aplikasi yang paling kerap anda gunakan. Kami tidak berapa gemar meletakkan banyak pintasan aplikasi pada peranti dan fungsi Shelf ini amat kami gemari.
Penambahan kedua yang tidak wujud pada Vanilla ialah pintasan pantas beberapa fungsi asas peranti yang terletak pada talam notifikasi. Pengguna boleh menetapkan pintasan apakah yang ingin mereka letakkan dengan pantas. Penambahan ketiga dan paling kami gemari ialah fungsi Dark Theme yang menjadikan kesemua elemen antaramuka menjadi warna hitam. OnePlus X menggunakan skrin AMOLED dan kawasan berwarna hitam tidak menggunakan kuasa yang tinggi untuk dipaparkan pada skrin. Penggunaan Dark Theme ini memanjangkan hayat peranti.
Oneplus-x-UI-1Oneplus-x-UI-2
Bercakap tentang kustomasi tema, tidak banyak boleh dilakukan pada OxygenOS selain memilih warna sekunder yang digunakan untuk tema. Jika anda melihat gambar antaramuka di atas anda akan menyedari warna butang dan slider bewarna merah. Ini ialah salah satu dari 8 warna sekunder yang boleh dipilih. Pengguna juga boleh memuat turun pek ikon sekiranya tidak menggemari pilihan ikon yang disertakan.
Fungsi tambahan OxygenOS yang paling kami gemari ialah pilihan menggunakan butang navigasi atas skrin ataupun skrin kapasitif pada dagu peranti. Ini ialah “fungsi maut” yang sudah wujud sejak zaman OnePlus One lagi dan masih belum ditiru pengeluar lain. Kami terdiri di dalam golongan pengguna yang menggemari butang di atas skrin. OxygenOS memberikan pengguna dua pilihan butang navigasi dan ini adalah amat dihargai.
Oneplus-x-UI-3
Butang home masih boleh digunakan sungguhpun jika anda memilih butang navigasi atas skrin sepenuhnya. Ia boleh diprogramkan untuk berfungsi sebagai butang home normal sekiranya perlu. Kami memprogramkannya untuk melancarkan aplikasi kamera apabila ditekan sebanyak dua kami seperti sebuah Samsung Galaxy S6. Kepada yang menggemari fungsi pergerakan jari (gesture), fungsi ini juga disertakan. Skrin boleh dihidupkan dengan melakukan dwi-tap, kamera boleh dilancarkan dengan melakar huruf O dan lampu suluh dengan melakar hurufF pada skrin yang ditutup.
Biasanya apabila pelbagai fungsi seperti ini disertakan, peranti akan mengalami masalah sela masa dan kelembapan. Sepanjang tempoh ujian selama tiga minggu kami tidak menemui sebarang masalah seperti di atas. Peranti berfungsi dengan lancar, pantas dan tanpa sebarang masa. Ini mungkin adalah kerana OnePlus X dilengkapi dengan jumlah RAM yang mencukupi dan OxygenOS yang dioptimasikan dengan betul. Selepas menggunakan OnePlus X, OxygenOS ialah antara antaramuka kegemaran kami setanding dengan Sense 7 dan pelancar yang digunakan peranti Xperia.

Kamera

Kamera utama OnePlus X sensor sebesar 13 Megapixel f/2.2 dan kamera hadapan pula adalah sensor sebesar 8 Megapixel f/2.4. Pada tetapan terbesar, gambar yang diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi kamera diturunkan ke 7.9 Megapixel. Kualiti gambar pada resolusi lebih rendah kami rasakan kurang memuaskan. Terdapat mod Clear Image yang menggabungkan beberapa gambar yang diambil serentak untuk menjadi sebuah gambar yang lebih besar dengan tahap keperincian lebih tinggi. Ini sama seperti mod HD Picture yang disertakan pada peranti Oppo seperti Find 7.
Kami kurang menggemari antaramuka aplikasi kamera yang digunakan. Sebagai contoh sekiranya kami ingin mengubah mod dari mengambil gambar ke mod merakam video, skrin perlu ditatal ke bawah untuk mengaktifkan mod video. Ini adalah masalah yang sama seperti yang kami temui pada aplikasi kamera HTC. Kami sudah terbiasa dengan sistem di mana butang rakaman video dan pengatup kamera terpampang pada skrin sepanjang masa. Sekiranya anda perlu merakam video dengan segera, sistem yang digunakan ini pastinya membuatkan anda kehilangan beberapa saat sekaligus terlepas merakam aksi yang dimahukan. Pilihan mod rakaman juga adalah terhad, sama seperti yang dilihat pada aplikasi kamera Android Vanilla. Sekiranya anda mahukan antaramuka minimalis, OnePlus X pasti memenuhi keperluan anda. Tetapi keseimbangan memudahkan penggunaan dan rekaan minimalis sepatutnya diambil kira.
Oneplus-X-Camera
Kualiti gambar yang diambil menggunakan OnePlus X adalah hanya sederhana. Ia mengambil gambar yang baik di dalam situasi pencahayaan yang mencukupi namun sedikit gelap. Di dalam kawasan cahaya rendah dan di dalam bangunan gambar menjadi semakin gelap dengan noiseyang sederhana. Penghasilan semula warna juga tidak berapa tepat. Sekiranya gambar yang diambil dikongsi untuk media sosial sahaja kami rasakan kualiti gambar OnePlus X adalah memadai.
Share:

Alamat

FIXMOBILE KUBANG KERIAN
Lot 1490 Wisma Ar Rahmah
Bandar Baru Kubang Kerian
16150 Kubang Kerian,Kota Bharu
Kelantan,Malaysia

No : 0111 900 300
Email : Fixmobilekk@gmail.com